(VIDEO) ‘Tadi aku dah cakap jangan ikut! Mati kau, aku kerjakan!’

KUANTAN, PAHANG – Tindakan seorang wanita memukul, menampar dan mengheret anaknya masuk ke dalam kereta dirakam dan viral di media sosial.

Dalam kejadian di Taman Mahkota Emas, Kuantan, itu dirakam oleh penduduk berhampiran yang menyaksikan kejadian itu.

Berdasarkan video berdurasi 50 saat itu, wanita berkenaan dipercayai berang dengan anaknya yang mahu mengikutnya keluar.

Gagal mengawal kemarahan, wanita itu kemudian memarahi dan menghempas anaknya di di depan kereta sehingga terjatuh sebelum membuka pintu kereta bahagian penumpang belakang.

Si ibu kemudian mengarah anaknya masuk ke dalam kereta tetapi mangsa yang menangis ketakutan hanya mampu berdiri kaku. Berang melihat anaknya tidak mengikut arahannya, wanita itu terus menampar pipi mangsa sebanyak dua kali.

Sambil menangis, tangan mangsa ditarik dan dia dicampak ke dalam kereta dengan kasar.